Bermula 25 Mei 2021 (Selasa), pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah akan dihadkan tempoh masa selama maksimum dua jam sahaja berada di dalam premis. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peraturan itu dibuat selari dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sektor perdagangan pengedaran yang diperketatkan, berkuat kuasa Selasa ini.
Menurut beliau, semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi. Tambah beliau, “Pemilik perniagaan juga perlu memastikan kapasiti pekerja dihadkan bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus. Mana-mana premis peruncitan termasuk pusat beli belah yang tersenarai bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi”.
Alexander turut menambah, waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan antara pukul 8 pagi hingga 8 malam. Bagaimanapun, katanya, pengecualian diberikan kepada farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, pusat kesihatan (wellness) dan perkhidmatan perapian diri ‘manicure’ dan ‘pedicure’) dikekalkan antara pukul 8 pagi sehingga 10 malam. Menurutnya lagi, bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan efektif, KPDNHEP juga akan menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP termasuk pekerja dan juga pelanggan.
KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan kepada MKN untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP. Kementerian juga berharap langkah mengenakan sekatan tambahan ini akan mendapat kerjasama daripada semua pemain industri bagi memastikan hasrat kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai kecuali untuk tujuan penting sahaja.
Post comments (0)