music_note

Covid 19

Total Lockdown bermula 1 Jun

today28/05/2021 94

Background
share close

Kerajaan pada hari ini telah memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan berkata sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Katanya, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Untuk rekod, setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19. Tambah Perdana Menteri, “Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini. Dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad.”

“Sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Katanya lagi, setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

“Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara. Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya. Beliau berkata, semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Written by: Radio Zamburger

Rate it

Previous post

Covid 19

Covid-19 (27 Mei 2021) Malaysia terus catat kes tertinggi

Malaysia terus mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 7,857 pada hari ini. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 541,224.Daripada jumlah kes yang direkodkan, 2,675 dikesan di Selangor diikuti Kelantan (754) dan Sarawak (772).Berikut ialah pecahan kes mengikut negeri (Kumulatif):Selangor - 2,675 (177,450)Sabah - 217 (61,274)Johor - 549 (56,231)WPKL - 561 […]

today27/05/2021 167

Post comments (0)

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


0%